Tuesday 31 December 2013

Suara-Suara Bisu

Di balik dinding-dinding batu
suara terlontar dalam gelodak resah
bara yang terhimpun
terhambur memuntah lanar rasa
hanyut dalam masa yang melarut
di titis-titis waktu yang bakal terhenti

Suara-suara bisu
akur pada sebuah pengorbanan
meluah sejuta rahsia melempar nista
hidup ini bukan sebuah perjuangan
yang perlu ada kekalahan dan kemenangan
hidup ini adalah satu rantaian naskah
diikat dengan tanggungjawab
digari dengan keikhlasan
dalam susuran yang seindahnya
dipandu dalam relung keimanan

Suara-suara bisu
apabila diam itulah bahasa
apabila sepi itulah kata-kata
terjemahan bahasa qalbu
berbisik renungan menarikan kalam 

Nurr Bayu
Disember 2013

2 comments: